Sejumlah pengguna tempatan menghadapi masalah untuk mengakses perkhidmatan web hari ini, dimana kebanyakkan pengguna telah mengatakan pelayaran internet mereka lebih perlahan berbanding kebiasaan pada hari ini. Bertanyakan mengenainya, pihak Telekom Malaysia kini telah mengeluarkan komen rasmi kepada pembaca Amanz.
Menurut TM, konsortium yang menguruskan kabel APCN2 (Asia Pacific Cable Network 2) telah mendapati terdapat sedikit gangguan pada kabel Segment 3 – antara Chongming ke Lantau, menghubungkan Malaysia melalui Mersing ke Singapura, Hong Kong dan juga San Jose, Amerika Syarikat.
Kabel berkenaan menawarkan sambungan antarabangsa ke sejumlah perkhidmatan berasaskan internet yang terletak di Hong Kong dan Amerika Syarikat. Disebabkan kerosakkan ini, ia membuatkan pelayaran web sangat perlahan atau kesukaran mengakses untuk pengguna di Malaysia. TM mengatakan, pengguna juga akan mendapati kadar latency tinggi ketika melayari sejumlah perkhidmatan web – terutamanya yang menggunakan pelayan di Hong Kong dan Amerika Syarikat.
Usaha membaik-pulih telah pun diusahakan. Tiada masa yang diberikan oleh pihak TM kepada Amanz berkaitan bilakah pembaik-pulihan ini akan selesai speenuhnya.
TM mengatakan mereka telah mengoptimasikan dan mengambil sejumlah langkah dalam memastikan pengalaman penggunaan aplikasi seperti persidangan video, permainan, VPN adalah seminima yang mungkin. Beberapa kaedah lain turut telah diambil dalam mengurangkan impak kepada pengguna.
Sumber: https://amanz.my/2020232991/